Sorok pil kuda, heroin RM1.5 juta dalam ‘Toto’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Tiga warga Thailand termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki memiliki dadah dengan nilai keseluruhan lebih RM1.5 juta dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang.

-Advertisement-

Ini termasuk rampasan 96,000 pil kuda bernilai RM1.05 juta yang ditemukan dalam bungkusan cadar atau ‘Toto’ dipercayai bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, berkata dadah ditemukan ketika pemeriksaan ke atas lelaki warga Thailand berusia 31 tahun yang menunggang motosikal di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail di Rantau panjang jam 7.45 malam kelmarin.

“Suspek dipercayai membawa masuk pil untuk pasaran luar Kelantan dan lelaki itu memasuki negara menggunakan pas sempadan dengan membawa bungkusan ‘Toto’ khusus untuk menyorok dadah.

“Suspek yang disahkan positif Methamphetamine direman seminggu sehingga 8 Oktober untuk siasatan lanjut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Muhammad Zaki berkata seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 41 dan 28 tahun yang menggunakan modus operandi sama dengan menyorok dadah dalam ‘Toto’ ditahan serbuan di pangkalan haram Che Kassim di Rantau Panjang, jam 2.45 petang semalam.

-Advertisement-

“Selain 230 botol heroin dengan berat 1,390.51 gram bernilai RM460,000 itu, polis juga merampas barang kemas serta wang tunai bernilai RM11,690 dalam milikan dua suspek itu.

“Kita percaya semua dadah itu dibawa masuk untuk pasaran tempatan seluruh Kelantan dan kedua-dua suspek direman seminggu ini sehingga 8 Oktober untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semua tiga suspek dalam dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953.

– BeritaHarian