Suri rumah didakwa campak anak kucing sehingga mati

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencampak seekor anak kucing sehingga mati dari tingkat satu sebuah flat di Cheras pada bulan lalu.

-Advertisement-

Tertuduh, Nina Norhaslinda Mazlan, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara tidak munasabah mencampak seekor kucing dari tingkat satu sehingga menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan itu, di koridor tingkat satu di Flat Sri Sabah, Cheras, pada jam 7.35 pagi 25 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

-Advertisement-

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Lumpur, Fadzilah Abdul Karim, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Fadzilah memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana dia hanya suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan.

Norina kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta tiada syarat tambahan, dan menetapkan tarikh 6 Februari depan untuk sebutan semula kes.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427