Suspek Rompak Kedai Emas PJ Bertindak Sendirian, Tiada Rekod Jenayah – Polis

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA 17 March 2026 (The Capital Post)- Suspek yang cuba merompak sebuah kedai emas di Petaling Jaya pada Isnin dipercayai bertindak bersendirian dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, menurut pihak polis.

Ketua Polis Selangor memaklumkan hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah serta dipercayai merancang dan melaksanakan cubaan samun itu secara solo.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek yang bersenjatakan objek tajam dipercayai memasuki premis kedai emas berkenaan sebelum berlaku pergelutan dengan seorang pengawal keselamatan di lokasi.

Seorang lagi pengawal keselamatan kemudian melepaskan tembakan bagi mempertahankan rakan sekerjanya yang cedera, menyebabkan suspek mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala tiada sebarang barang kemas dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut.

Polis kini sedang meneruskan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti latar belakang suspek serta motif sebenar cubaan samun berkenaan.-The Capital Post

-Advertisement-