Syarikat Air Terengganu raih 2 anugerah berprestij antarabangsa

Estimate Reading Time: 3 minutes

Kuala Terengganu: Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) meraih dua anugerah ‘Asian Water Awards’, anugerah antarabangsa berprestij yang mengiktiraf projek inovatif dan kejayaan merintis inisiatif baharu bagi sektor air.

-Advertisement-

Kejayaan SATU meraih anugerah bagi kategori ‘Water Quality Improvement Project of the Year-Malaysia’ dan ‘Water Technology Excellence Award (Digital Technology)’ itu diumumkan pada majlis The International Asian Power Awards 2023 yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut, berkata pengiktirafan dua anugerah itu, sekali gus membuktikan komitmen SATU untuk mencipta inovasi dalam industri air di Malaysia dan dalam memenuhi misi SATU untuk sentiasa memenuhi harapan pengguna dengan menyediakan perkhidmatan yang cekap, berkesan dan dipercayai.

Atasi penerobosan air masin

SATU adalah syarikat operator air di Kuala Terengganu yang mengendalikan Loji Rawatan Air (LRA) Losong. Loji rawatan ini mampu membekalkan air terawat sehingga 76,000 m³ (JLH) sehari.

“Loji rawatan air ini juga satu aset penting bagi memenuhi permintaan air yang semakin meningkat di kawasan terbabit. Namun, loji ini menghadapi cabaran utama disebabkan oleh penerobosan air masin, terutama ketika air pasang tinggi yang mengakibatkan kualiti air mentah terjejas.

“Fenomena ini mengganggu proses untuk menyalurkan air yang selamat dan sihat kepada pengguna dan penyelesaian yang segera serta berkesan amatlah diperlukan,” kata Abdul Karim.

Katanya, apabila berlaku air pasang tinggi, air masin menerobos ke dalam ruang pengambilan air mentah yang terletak di Muka Sauk Pulau Musang.

Katanya, kejadian itu menyebabkan kepekatan ion klorida meningkat sehingga melebihi had yang dibenarkan, iaitu 250ppm dan LRA Losong terpaksa ditutup kerana ia tidak dilengkapi teknologi untuk merawat air masin.

“Seterusnya, ia menyebabkan loji ini terpaksa ditutup untuk mengelakkan air yang diproses membahayakan kesihatan pengguna serta merosakkan peralatan di LRA itu. Bagi mengatasi masalah ini, SATU bekerjasama dengan pengendali Loji Hidroelektrik Kenyir, iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kolaborasi inovatif ini membolehkan air tawar dari Empangan Kenyir dilepaskan secara sistematik untuk melarutkan air masin di ruang pengambilan air mentah Muka Sauk Pulau Musang ketika air pasang tinggi. Ia berjaya memastikan tahap ion klorida berada pada paras selamat bagi menjaga kualiti air dan kesihatan pengguna,” katanya.

Perjalanan tranformasi untuk masa depan yang mampan

-Advertisement-

Abdul Karim berkata, LRA Bukit Berapit yang berkapasiti 120 MLD pula mula beroperasi bagi mengatasi masalah penerobosan air masin dan inisiatif itu membabitkan penggunaan paip air terawat berdiameter 350mm yang dipasang dari paip utama.

Beliau berkata, pengoperasian LRA Bukit Berapit berjaya menjamin bekalan air selamat dan berkesan serta turut sama menangani kesan buruk yang dihadapi disebabkan oleh penerobosan air masin.

“SATU juga melakukan transformasi dalam sistem pengurusan syarikat dengan penggunaan Sistem Pengurusan Aset (AMS) yang mempercepatkan sistem pengurusan operasi dan aset.

“Sebelum ini, SATU terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalam menguruskan operasi dan aset seperti keterbatasan ketelusan data yang mempengaruhi kecekapan operasi dan prestasi bisnes.

“Menerusi pelaksanaan AMS, kelemahan seperti ini dapat diatasi secara sistematik dan dapat dilaksanakan secara berkesan, AMS juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih,” katanya.

Abdul Karim berkata, pembaharuan itu tidak hanya meningkatkan kecekapan operasi, tetapi juga boleh dijadikan rujukan penting ketika penyediaan bajet, memperkukuh kewangan dan pengawasan pengurusan.

Teknologi pembangunan AMS itu juga berjaya memberikan pengiktirafan kepada SATU sebagai pemenang anugerah kategori teknologi digital dan menunjukkan usaha SATU dalam mengaplikasikan cara pengurusan sumber yang bertanggungjawab.

“Pendekatan ini selari dengan slogan SATU, iaitu Care for Life and Beyond yang mana inovasi ini penting bagi memastikan kelestarian perkhidmatan air untuk generasi akan datang.

“Anugerah ini adalah bukti kepada inisiatif transformasi SATU untuk menjadi peneraju inovasi dalam pengurusan kualiti air serta komitmen SATU yang tetap teguh untuk memastikan bekalan air yang disalurkan adalah selamat dan berkualiti tinggi.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti penerobosan air masin, inovasi dihasilkan SATU wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat. Menerusi inovasi serta kolaborasi dilaksanakan, SATU berjaya meraih pengiktirafan penting dalam industri air bagi menetapkan penanda aras kecemerlangan dalam pengurusan air,” katanya.

Sumber: Asian Power Awards 2023

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427