Syarikat induk Malaysia Airlines terima pesawat Boeing 737-8

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEPANG: Syarikat induk syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini menerima pesawat pertama Boeing 737-8.

-Advertisement-

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, berkata pemerolehan pesawat Boeing 737-8 menandakan permulaan pelan pengembangan secara berperingkat armada pesawat badan sempit MAG.

“MAG memiliki pesanan sejumlah 25 pesawat Boeing 737-8 menerusi pajakan operasinya bersama Air Lease Corporation (ALC) yang akan dihantar sehingga 2026.

“Untuk tahun ini sejumlah tiga pesawat sama akan diterima MAG mulai minggu depan dan enam lagi pesawat pada 2024,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran ketibaan pesawat Boeing 737-8 pertama di Hangar 5, Kompleks Kejuruteraan MAB di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; dan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Raja Azmi Raja Nazuddin.

Pesawat pertama Boeing 737-8 dijadual memulakan penerbangan komersial sulungnya ke Kota Kinabalu, Sabah menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH2640 yang berlepas dari Kuala Lumpur pada 3.40 petang nanti.

Izham berkata, pesawat itu akan menawarkan perkhidmatan untuk destinasi domestik seluruh Malaysia, sebelum berkembang ke rangkaian lain di seluruh ASEAN dan Asia apabila kumpulan itu menerima lebih banyak pesawat.

Sementara itu, Siew Fook berkata, kementerian mengalu-alukan penambahan bilangan pesawat milik MAG yang mampu meningkatkan penerbangan untuk pelanggan di Malaysia dan laluan lain di ASEAN serta Asia pada masa hadapan.

“Saya turut dimaklumkan MAG telah melaksanakan banyak penambahbaikan untuk perkhidmatan dalam kabin Malaysia Airlines. Perkhidmatan dalam pesawat juga telah ditambah baik dan ini sesuatu yang amat penting,” katanya.

Wan Zulkiflee pula berkata, pengenalan pesawat Boeing 737-8 baharu akan membolehkan Malaysia Airlines meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi dan bahan api, serta memenuhi keperluan pertumbuhan rangkaian masa depan.

-Advertisement-

“Kemasukan Boeing 737-8 dalam armada kami lebih penting daripada sekadar menambah baik pesawat yang sudah berusia. Ia bertindak sebagai jambatan yang bermakna, menghubungkan sejarah kami dengan era baharu, sejajar dengan matlamat Rancangan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 sambil berusaha untuk menjadi kumpulan perkhidmatan perjalanan dan penerbangan terkemuka di Asia,” katanya.

Pesawat Boeing 737-8 menampilkan hiburan dalam penerbangan tanpa wayar canggih dengan menyediakan pelbagai kandungan yang ditetapkan untuk meningkatkan paradigma hiburan dalam penerbangan.

Sama seperti pesawat Boeing 737-800 NG yang diperbaharui, Boeing 737-8 akan menawarkan konfigurasi tempat duduk serupa yang terdiri daripada 12 tempat duduk dalam Kelas Perniagaan dan 162 tempat duduk dalam Kelas Ekonomi.

Sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas, Malaysia Airlines akan memperkenalkan sambungan internet berkualiti tinggi, gabungan ciri kali pertama MAG ke dalam armada badan sempit yang membolehkan pelanggan kekal berhubung sepanjang perjalanan mereka.

Sebagai sebahagian daripada rancangan pemodenan armada, MAG kini sedang melaksanakan pengubahsuaian 39 daripada 47 pesawat B737-800 NG, yang dijangka siap pada awal tahun hadapan.

Di samping itu, kumpulan itu baru-baru ini memperoleh satu pesawat A350-900 untuk menyokong keperluan pertumbuhannya dan akan menerima 20 pesawat Airbus 330neo, dengan penghantaran pertama dijadualkan pada September 2024.

MAG kini memiliki saiz armada 102 melalui anak syarikatnya Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan MASkargo.

Dalam pada itu, AeroDarat, cabang pengendalian darat MAG, mempamerkan penggunaan teknologi operasi darat terbaharunya dengan mengendalikan tunda elektrik untuk Boeing 737-8 menggunakan Mototok Spacer 8600NG.

Jentera pertama daripada 12 unit penunda tanpa bar tunda tiba pada Oktober lalu, yang membolehkan ia mengendalikan perkhidmatan kepada armada badan sempit pelanggan.

Ini menjadikan MAG sebagai organisasi pertama di Asia dan kedua di dunia yang mengendalikan model ‘pushback’ elektrik sekali gus menandakan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan emisi dari darat.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5309