Sze Fei-Izzuddin sah sertai skuad Piala Thomas

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Skuad Piala Thomas negara mendapat khabar gembira apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bersetuju menyertai kempen di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan.

Berita itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Menurut Rexy, pasangan profesional itu berkemungkinan bersama pasukan bukan sahaja bagi kempen Piala Thomas, bahkan sehingga ke Sukan Asia 2026.

“Ya, mereka sudah beri jawapan. Bahkan sampai Sukan Asia juga,” jelasnya mengenai status Sze Fei-Izzuddin.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, berkata badan induk itu masih menunggu maklum balas rasmi daripada pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia serta Sze Fei-Izzuddin sama ada bersetuju menyertai skuad kebangsaan atau tidak.

Menurutnya, BAM sudah menghantar jemputan rasmi kepada mereka untuk menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kejohanan berpasukan berprestij itu yang menyaksikan Malaysia menetapkan sasaran menamatkan penantian 34 tahun bagi muncul juara.

-Advertisement-

Rexy berkata, buat masa ini Sze Fei-Izzuddin mengikuti latihan bersama pasukan kebangsaan satu hingga dua kali seminggu sebagai sebahagian daripada perancangan awal menjelang kem latihan penuh.

Menurutnya, fokus utama adalah memastikan persiapan rapi dapat dilakukan lebih awal, selain melihat keperluan memperkemaskan kombinasi beregu terbaik negara.

Mengulas mengenai pemilihan akhir barisan beregu ke kejohanan itu, Rexy menjelaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Sze Fei-Izzuddin kini dilihat berada di kedudukan teratas berdasarkan prestasi semasa.

“Tapi kita tahu kalau tiba-tiba Arif Junaidi-Roy King buat satu keputusan yang ‘menakjubkan’, lain cerita lagi,” katanya.

-BeritaHarian