SHAH ALAM, 28 Februari — Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipercayai bakal dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu, menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin, menurut laporan
Menurut laporan Sinar Harian, sumber dalaman Perikatan Nasional (PN) memaklumkan cadangan tersebut telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu dan mendapat persetujuan parti komponen, termasuk Bersatu.
Difahamkan, cadangan itu dikemukakan oleh Ketua Pemuda PN yang mencadangkan Takiyuddin, yang kini memegang jawatan Ketua Whip PN, untuk mengambil alih peranan Ketua Pembangkang. Wakil Bersatu dilaporkan bersetuju dengan cadangan tersebut.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai pelantikan tersebut. Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan bahawa tiada pemakluman rasmi dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat, sekali gus bermakna Hamzah masih kekal sebagai Ketua Pembangkang buat masa ini.
-Advertisement-
Dalam perkembangan berkaitan, Pas dijangka mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selaras dengan keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan PN, namun nama rasmi calon hanya akan diumumkan kemudian.
Sumber turut memaklumkan bahawa Bersatu secara prinsip tidak mempunyai halangan sekiranya Pas mengambil alih peranan tersebut, dan perubahan kepimpinan ini dilihat sebagai sebahagian daripada penyusunan semula strategi pembangkang di Parlimen.
Perkembangan ini dijangka terus menjadi perhatian memandangkan jawatan Ketua Pembangkang memainkan peranan penting dalam memastikan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan di Parlimen. – Sinar Harian