Ten Hag teruja persembahan trio muda

Estimate Reading Time: 2 minutes

MANCHESTER, England: Gambar trio muda Manchester United – Rasmus Hojlund, Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo – meraikan kemenangan 3-0 ke atas West Ham United pantas berlegar di media sosial malam tadi.

-Advertisement-

Pasukan kendalian Erik ten Hag melonjak mengatasi West Ham di tangga keenam Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan terbesar dalam liga di gelanggang sendiri musim ini dan pengurus itu berkata, melihat trio itu beraksi dan meraikan kemenangan mengesahkan harapannya terhadap mereka.

“Anda tidak percaya dengan saya,” kata Ten Hag, memarahi wartawan selepas perlawanan itu.

“Kami membeli pemain pada musim panas bagi masa depan. Kami membuat pilihan untuk memberikan pemain yang berhak peluang dalam pasukan, Garnacho dan Mainoo. Hojlund semakin meningkat.
“Kami mempunyai barisan serangan yang menjadi ancaman setiap lawan dan mereka seronok bermain bola sepak. Tiga pemain meraikan bersama, ia bukannya mengenai seorang pemain, ia mengenai pasukan, 11 bertahan, 11 menyerang, seronok menyaksikan perlawanan itu.”

Garnacho, 19, meledak dua gol, Hojlund menyumbat pada hari jadinya yang ke-21 dan pemain berusia 18 tahun Mainoo cemerlang di bahagian tengah dan Hojlund serta Mainoo meninggalkan padang dengan menrima tepukan bergemuruh daripada penonton di Old Trafford.

Di sebalik musim sukar yang meningkatkan persoalan mengenai kestabilan jawatan Ten Hag, pengendali dari Belanda itu menekankan pasukan itu masih banyak kerja perlu dilakukan.

-Advertisement-

Mereka mengumpul 38 mata selepas 23 perlawanan, menyaksikan mereka ketinggalan lapan mata di belakang pasukan tangga keempat Aston Villa yang akan dikunjungi mereka Ahad depan.

“Saya tidak beritahu anda kami berada di sana, di mana kami mahu berada, tetapi anda melihat potensinya,” kata Ten Hag.

“(Pemain muda) sudah tentu memerlukan permainan, mereka memerlukan pengalaman dan satu-satunya cara anda boleh dapatkannya adalah beraksi dalam pasukan utama.

“Mereka mempunyai sikap yang betul dan apabila anda mempunyai sikap untuk meningkat setiap hari, saya yakin mereka boleh capai tahap yang tinggi tetapi mereka memerlukan pemain berpengalaman untuk membantu mereka dan meletakkan mereka pada kedudukan yang tepat.”
-REUTERS
-BeritaHarian