Terlalu awal jangka perintah berkurung di Victoria ditamatkan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SYDNEY: Pemimpin Victoria hari ini berpandangan terlalu awal untuk menjangkakan perintah berkurung jangka pendek selama lima hari yang sedang dijalankan akan tamat seperti dijadualkan Rabu ini.

-Advertisement-

Ia susulan pihak berkuasa mengesahkan program vaksinasi kebangsaan di Australia dijadualkan bermula minggu depan.

Negeri dengan kepadatan penduduk kedua tertinggi di Australia itu melaporkan cuma satu kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes berkaitan dengan kluster individu yang dikuarantin di hotel meningkat kepada 17 orang.

Kes terbaharu membabitkan seorang ibu yang mempunyai anak berusia tiga tahun disahkan positif COVID-19 semalam.

Perintah berkurung itu mewajibkan lebih enam juta penduduk di negeri berkenaan duduk di rumah dengan kelonggaran membabitkan urusan membeli barangan keperluan, bekerja, khidmat pengasuh dan aktiviti senaman di ruang terbuka.

Serentak dengan itu, Kejohanan Tenis Terbuka Australia yang diadakan di Melbourne sehingga 21 Februari ini tidak akan dibuka kepada penonton sehingga tempoh perintah berkurung berakhir.

-Advertisement-

“Kami akan memaklumkan secara lebih terperinci nanti… bagaimanapun buat masa ini masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada perintah berkurung akan ditamatkan pada Rabu ini,” kata Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews kepada media di Melbourne.

Sejak pandemik COVID-19 bermula, Australia merekodkan 29,000 kes COVID-19 dengan 909 kematian.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Greg Hunt, berkata vaksin bagi negara itu yang dibangunkan oleh Pfizer Inc (Pfizer) dan BioNTech akan diedarkan kepada penduduk pada hujung bulan ini.

“Saya boleh mengesahkan bahawa vaksin akan tiba di Australia sebelum hujung minggu ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, negara jirannya, New Zealand turut mengambil langkah melaksanakan perintah berkurung jangka pendek di bandar raya terbesar di negara itu, Auckland selepas mengesan tiga kes baharu COVID-19 pada hujung minggu lalu.

Sehubungan itu, Australia turut menggantung perjalanan bebas kuarantin bagi kemasukan warga New Zealand ke negara itu. – AGENSI


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373