Texas saman Pfizer, pertikai keberkesanan vaksin COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

TEXAS: Pfizer semalam disaman oleh Peguam Negara Texas, Ken Paxton, selepas pembuat ubat itu dituduh mengelirukan keberkesanan vaksin COVID-19 yang digunakan secara meluas di Amerika Syarikat (AS).

-Advertisement-

Dalam aduan yang difailkan di Mahkamah Negeri Lubbock County, Paxton berkata, adalah mengelirukan bagi Pfizer untuk mendakwa vaksinnya 95 peratus berkesan kerana ia menawarkan ‘pengurangan risiko relatif’ bagi mereka yang mengambilnya.

Paxton berkata, tuntutan itu berdasarkan fakta hanya terdapat dua bulan data percubaan klinikal dan wabak itu menjadi lebih teruk walaupun selepas orang ramai mula mengambil vaksin Pfizer.

-Advertisement-

“Pfizer dengan sengaja mengelirukan keberkesanan vaksin COVID-19 dan turut menapis orang yang mengancam untuk menyebarkan kebenaran, bagi memudahkan penggunaan produk dan mengembangkan peluang komersial.

“Kami mengejar keadilan untuk rakyat Texas, yang kebanyakannya dipaksa menerusi mandat vaksin zalim untuk mengambil produk yang rosak dan dijual dengan kempen pembohongan,” katanya.

Paxton, seorang Republikan yang juga antara pengkritik utama usaha pentadbiran Biden memerangi wabak itu, dalam satu kenyataan berkata, Pfizer masih belum menjawab permintaan untuk memberi komen mengenai perkara itu.

Tuntutan itu bertujuan menghentikan Pfizer yang berpangkalan di New York daripada membuat dakwaan palsu dan cuba menutup ‘kenyataan sebenar’ mengenai vaksin.

Syarikat itu, jika bersabit kesalahan, boleh didenda lebih daripada AS$10 juta (RM46.69 juta) kerana melanggar undang-undang Texas yang melindungi pengguna daripada kaedah pemasaran yang menipu.

Ia adalah tuntutan kedua Paxton terhadap Pfizer sejak sebulan lalu.

Dalam kes pada 21 November, Paxton menuduh Pfizer dan pembekal memanipulasi ujian kawalan kualiti, menyebabkan pengedaran ubat yang tidak berkesan untuk merawat gangguan hiperaktif pada kanak-kanak.

– REUTERS

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373