Tiada kes baharu virus Nipah dikesan di India – WHO

Estimate Reading Time: 2 minutes

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam, memberitahu tiada kes baharu virus Nipah dikesan di India sejak 15 September lalu, susulan dua kematian pada awal bulan ini.

-Advertisement-

Menurut WHO, virus Nipah tidak mempunyai vaksin dan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.

Kementerian kesihatan India melaporkan enam kes virus Nipah yang disahkan makmal, termasuk dua kematian, di daerah Kozhikode di negeri selatan Kerala dari 12 hingga 15 September lalu.

Selain daripada kes pertama, yang sumber jangkitannya tidak diketahui, kes lain adalah keluarga dan kontak hospital membabitkan mangsa pertama, kata WHO dalam kemas kini mengenai wabak itu.

Sehingga 27 September lalu, sebanyak 1,288 kontak kes yang disahkan dikesan, termasuk kenalan berisiko tinggi dan pekerja penjagaan kesihatan, yang berada di bawah kuarantin dan pemantauan selama 21 hari.

Sejak 12 September lalu, sebanyak 387 sampel diuji, di mana enam kes positif jangkitan virus Nipah, manakala sampel kain diuji negatif, kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

“Sejak 15 September, tiada kes baharu dikesan akibat virus yang menjadikan kelawar buah sebagai vektor penyebaran semula jadi ini.

“Ia merebak kepada manusia melalui sentuhan dengan haiwan yang dijangkiti seperti kelawar dan babi, malah virus Nipah juga boleh terkena daripada orang yang dijangkiti, walaupun ia jarang berlaku,” katanya.

-Advertisement-

Tempoh inkubasi iaitu masa dari jangkitan hingga permulaan simptom adalah antara empat hingga 14 hari, yang paling lama dilaporkan selama 45 hari.

Gejala termasuk demam, muntah dan jangkitan pernafasan, tetapi kes yang teruk membabitkan sawan dan bengkak atau radang otak serta mengakibatkan koma.

Virus itu mula dikenal pasti pada 1998 selepas ia merebak dalam kalangan penternak babi di Malaysia.

“Ini adalah wabak keenam virus Nipah di India sejak 2001,” kata WHO.

Pada 2018, sekurang-kurangnya 17 orang meninggal dunia selepas dijangkiti virus itu di Kerala.

WHO menyenaraikan virus Nipah sebagai salah satu penyakit yang menimbulkan ‘risiko kesihatan awam yang paling besar disebabkan potensi menjadi wabak’ jika kekurangan atau tiada langkah diambil bagi menanganinya.
– AFP
-BeritaHarian