Tiada pemansuhan pembekuan pengeluaran lesen arak – DBKL

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memansuhkan pembekuan pengeluaran lesen baharu bagi penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

-Advertisement-

Menurut DBKL dalam satu kenyataan, Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang baharu dilantik sudah menjalankan fungsi sedia ada dan hanya mempertimbangkan permohonan pembaharuan lesen.

“Pernyataan bahawa Lembaga Pelesenan Eksais yang bersidang pada 23 November lalu sudah menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina adalah tidak benar.

“Pertimbangan terhadap penjualan minuman keras di ketiga-tiga premis berkenaan masih tertakluk kepada garis panduan yang sudah ditetapkan.

“Lembaga yang bersidang pada tarikh berkenaan hanya meluluskan sejumlah 1,519 permohonan pembaharuan lesen borong, rumah awam dan runcit. Tiada lesen runcit baharu yang diluluskan,” katanya.

DBKL adalah urus setia kepada Lembaga Pelesenan Eksais WPKL dalam memproses permohonan Lesen Minuman Keras di Kuala Lumpur selaras dengan perwakilan kuasa di bawah Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) 1977.

-Advertisement-

Terdahulu tular di media sosial menyatakan ahli jawatankuasa yang baru dilantik Lembaga Pelesenan Eksais di bawah DBKL dilaporkan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina.

Pada 1 November 2021, BH melaporkan larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina mula dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, penjualan bir oleh premis terbabit masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sahaja, sebagaimana terkandung dalam syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).

Namun premis terbabit perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas bagi bir yang berasingan daripada minuman lain, mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan bir, manakala had umur pembeli mesti 21 tahun ke atas.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373