Tiga ditahan, tiga lagi diburu bersabit kes samun kedai pengurup

Estimate Reading Time: < 1 minute

PORT DICKSON, 16 Okt — Tiga ditahan manakala tiga lagi diburu polis, bagi membantu siasatan kes samun bersenjata di sebuah kedai pengurup wang di sebuah pusat membeli-belah di sini yang menyebabkan kerugian lebih RM50,000, di sini, Isnin lepas.

-Advertisement-

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata bertindak atas risikan dan maklumat bermula pukul 1 pagi hingga 4.30 pagi tadi, pasukan D9 Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah menahan tiga lelaki dalam tangkapan berasingan.

“Ketiga-tiga suspek yang berumur lingkungan 22 hingga 27 tahun yang dipercayai anggota kumpulan itu berjaya ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Selangor dan Perak.

“Suspek yang berumur 22 tahun itu bekerja sebagai kelindan lori manakala kedua-dua rakannya berumur 25 dan 27 tahun tidak mempunyai pekerjaan serta memiliki beberapa rekod jenayah lampau antaranya berkaitan dadah dan samun,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menerusi tangkapan itu, Che Zakaria berkata polis turut merampas lima telefon bimbit, dua kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Axia yang digunakan suspek, sebilah pisau pemotong kertas warna merah serta wang tunai sebanyak RM12,500.

-Advertisement-

Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin depan.

Che Zakaria berkata pihaknya kini dalam usaha menjejaki tiga lagi suspek yang terlibat dalam kes ini iaitu R. Kunasegaran yang berumur 31 tahun, J. Danarush, 29, dan R. Jeevanraj, 22 tahun.

“Kita meminta mana-mana pihak serta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek yang disyaki ini agar melaporkan segera di balai polis berdekatan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Muhammad Akmal Salleh di talian 017 4220322 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut. — BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373