Tiga Negara Perkukuh Kerjasama Pasaran Getah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 8 Oktober 2026 (The Capital Post) – Malaysia, Thailand dan Indonesia memperkukuh kerjasama dalam memastikan kestabilan pasaran getah asli serta melindungi kepentingan pekebun kecil menerusi Mesyuarat Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) Kali Ke-41.

Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof itu turut disertai delegasi ketiga-tiga negara serta wakil International Rubber Consortium (IRCo).

Delegasi Malaysia pula diketuai Timbalan Ketua Setiausaha KPK, Dato’ Razali Mohamad.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk perkembangan harga getah asli, cabaran yang dihadapi pasaran global serta kedudukan Malaysia, Thailand dan Indonesia dalam landskap industri getah antarabangsa.

-Advertisement-

Mesyuarat turut membincangkan cadangan untuk menambah baik kerangka institusi dan mekanisme pelaksanaan ITRC serta IRCo bagi meningkatkan keberkesanan kerjasama dalam menyokong kestabilan pasaran dan kesejahteraan pekebun kecil.

Sebagai Pengerusi ITRC bagi tahun 2026, Malaysia turut memberi penekanan terhadap keperluan menetapkan hala tuju kerjasama yang lebih jelas, termasuk persediaan bagi Mesyuarat Jawatankuasa Menteri ITRC.

Langkah tersebut penting bagi memperkukuh penyelarasan dasar serta meningkatkan daya tahan industri getah serantau dalam menghadapi perubahan dan cabaran pasaran global – The Capital Post