Ketua Pengarah BPA Tekankan Kecekapan Pengurusan Aduan Awam

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 8 Oktober 2026 (The Capital Post) – Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Aduan Awam (BPA), Datuk Akbar Haji Samon menyantuni peserta Bengkel Pengendalian Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Siri 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Latihan ICT BPA pada 6 Oktober lalu.

Bengkel berkenaan disertai 43 wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dari seluruh negara termasuk Labuan serta beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terpilih.

Dalam amanatnya, Datuk Akbar merakamkan penghargaan atas komitmen pengurusan aduan di peringkat negeri yang turut menyumbang kepada kejayaan Penarafan Pengurusan Aduan Peringkat Kerajaan Negeri Tahun 2025 yang disempurnakan pada 1 Oktober lalu.

Beliau turut menegaskan kepentingan setiap pegawai mematuhi prosedur ditetapkan, melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab serta memastikan aduan rakyat dikendalikan secara cekap dan berkesan.

-Advertisement-

Menurut beliau, pengurusan aduan yang baik merupakan antara aspek penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa memenuhi keperluan dan ekspektasi rakyat.

Kehadiran Ketua Pengarah BPA itu turut menerima sambutan positif daripada peserta bengkel, selain menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama dan perkongsian ilmu dalam usaha meningkatkan mutu pengurusan aduan awam secara berterusan – The Capital Post