Timbalan Menteri Dalam Negeri tinjau keselamatan, kebajikan warga IPD Sipitang

Estimate Reading Time: < 1 minute

SIPITANG, 10 Ogos 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, di sini, semalam.

Lawatan itu bertujuan memastikan aspek keselamatan, kesiapsiagaan pasukan serta kebajikan warga IPD terus diberi perhatian bagi menjamin keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar turut menerima taklimat daripada Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintenden Awang Anak Suanda, berkaitan sejarah penubuhan IPD, perjawatan, statistik keseluruhan kes serta situasi keselamatan di daerah berkenaan.

-Advertisement-

Taklimat itu turut menyentuh isu, cabaran dan permasalahan yang dihadapi IPD Sipitang, termasuk cadangan penambahbaikan.

Beliau turut mengadakan sesi perjumpaan khas dan ramah mesra bersama warga kerja IPD, selain berdialog bagi mendengar pandangan serta keperluan anggota dan pegawai di daerah berkenaan.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), lawatan tersebut mencerminkan komitmen Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan kesiapsiagaan pasukan serta kebajikan warga PDRM terus diberi perhatian. – The Capital Post