Timbalan Menteri Dalam Negeri Tinjau Operasi Penjara Muar

Estimate Reading Time: < 1 minute

MUAR 28 Jun 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengadakan lawatan kerja dan sesi ramah mesra bersama warga kerja Pusat Koreksional Muar hari ini sebagai tanda penghargaan terhadap peranan serta komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkukuhkan sistem koreksional negara.

Turut mengiringi lawatan tersebut ialah YBrs. Komisioner Penjara, Hajah Nora Musa, Pengarah Bahagian Korektif Ibu Pejabat Penjara Malaysia, serta Pengarah Pusat Koreksional Muar, YBhg. Penolong Komisioner Penjara Ismawi Ismail.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia, khususnya kakitangan Pusat Koreksional Muar, atas dedikasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh profesionalisme, integriti dan komitmen terhadap perkhidmatan awam.

Beliau berkata, lawatan tersebut memberi peluang kepada kementerian untuk meninjau sendiri kemudahan serta operasi institusi, selain menjadi platform bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada warga kerja mengenai cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan tugas harian.

-Advertisement-

Menurut beliau, pendekatan turun padang seperti ini penting bagi memastikan segala isu yang dihadapi dapat dikenal pasti dan ditangani secara berkesan, sekali gus memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan koreksional kepada negara.

Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Penjara Malaysia kini memainkan peranan yang lebih menyeluruh sebagai peneraju sistem korektif negara, bukan sahaja dalam memastikan keselamatan awam terus terpelihara, malah memberi penekanan terhadap aspek pemulihan, pembangunan sahsiah serta penyediaan peluang kedua kepada bekas penghuni penjara untuk kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif.

Katanya, usaha berterusan memperkasa institusi koreksional merupakan antara elemen penting dalam membentuk sistem keadilan jenayah yang lebih berkesan dan berorientasikan pemulihan demi kesejahteraan masyarakat serta keselamatan negara. – The Capital Post