TUDM Terima Aset UAS ANKA-S

Estimate Reading Time: < 1 minute

LABUAN 17 Jun 2026 (The Capital Post) – Keupayaan pertahanan udara dan maritim negara terus dipertingkatkan apabila Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Majlis Peluncuran Aset Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (Unmanned Aerial System – UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE) ANKA-S No. 11 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.

Peluncuran tersebut menandakan pengoperasian rasmi aset baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan pemantauan dan keselamatan negara, khususnya di kawasan perairan strategik.

Sistem UAS MALE ANKA-S berkeupayaan melaksanakan misi perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) secara berterusan bagi meningkatkan tahap kesedaran domain maritim negara. Aset itu juga mampu menjalankan operasi pemantauan hampir 24 jam dalam pelbagai keadaan cuaca serta pada waktu siang dan malam.

Keupayaan tersebut dijangka membantu mempertingkatkan keberkesanan pemantauan kawasan operasi, sekali gus memastikan keselamatan perairan negara dan kedaulatan wilayah sentiasa terpelihara.

-Advertisement-

Sempena lawatan itu, Menteri Pertahanan turut melawat Data Exploitation Center (DEC) serta menyaksikan demonstrasi operasi UAS MALE ANKA-S yang memperlihatkan kemampuan teknologi terkini dalam menyokong operasi pertahanan negara.

Pengoperasian aset berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memperkasakan kesiapsiagaan maritim negara selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM CAP55 serta Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12). – The Capital Post