TV AlHijrah Lancar AlHijrah Media Nexus

Estimate Reading Time: 2 minutes

CYBERJAYA 27 Jun 2026, (The Capital Post) – TV AlHijrah menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-16 dengan melancarkan AlHijrah Media Nexus (AMN), sebuah pusat sokongan operasi baharu yang dibangunkan bagi memperkukuh keupayaan penyiaran serta memastikan kesinambungan operasi organisasi dalam mendepani perkembangan pesat industri media.

Majlis pelancaran AMN telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Zulkifli Hassan, dengan kehadiran Pengerusi TV AlHijrah, Ahli Lembaga Pengarah serta warga kerja organisasi.

Pusat operasi baharu itu dibangunkan sebagai inisiatif strategik untuk menyediakan infrastruktur penyiaran yang lebih moden, selamat dan responsif. Selain berfungsi sebagai pusat sokongan operasi, AMN turut dilengkapi dengan studio mini yang mampu menyokong keperluan penerbitan kandungan serta memastikan penyampaian siaran kepada penonton berlangsung secara konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, sambutan ulang tahun ke-16 bukan sekadar meraikan pencapaian organisasi sepanjang penubuhannya, malah menjadi titik permulaan kepada agenda transformasi yang akan memperkukuh daya tahan dan daya saing penyiar Islam negara.

Menurut beliau, pelancaran AMN membuktikan kesediaan TV AlHijrah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap media dan teknologi yang semakin berkembang, di samping memastikan sistem operasi organisasi kekal stabil serta mampu menyokong penyampaian kandungan dakwah, pendidikan dan inspirasi kepada masyarakat.

-Advertisement-

Beliau berkata, pelaburan dalam pembangunan infrastruktur merupakan langkah penting bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan perkhidmatan penyiaran yang berkualiti dapat diteruskan tanpa gangguan, sekali gus memenuhi keperluan industri dan jangkaan penonton yang semakin dinamik.

Seiring dengan pelancaran AMN, TV AlHijrah turut memperkenalkan Bincang Niaga 2026 yang berlangsung dari 22 Jun hingga 31 Julai 2026 sebagai inisiatif membantu usahawan, syarikat dan organisasi memanfaatkan ekosistem media TV AlHijrah bagi memperkukuh penjenamaan, meningkatkan keterlihatan produk serta memperluaskan capaian pasaran melalui platform televisyen, digital dan media sosial.

Peserta program turut berpeluang menerima khidmat sokongan strategik daripada pasukan profesional TV AlHijrah dalam merancang kempen promosi yang lebih berkesan, selain menikmati diskaun sehingga 40 peratus sepanjang tempoh promosi, tertakluk kepada terma dan syarat.

Bersempena sambutan ulang tahun tersebut, TV AlHijrah juga membawakan pelbagai program khas yang mengangkat tema hijrah, pembangunan ummah serta penghayatan nilai ilmu, perpaduan dan kasih sayang, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam negara yang terus berkembang melalui inovasi, transformasi digital dan penyampaian kandungan berkualiti kepada rakyat. – The Capital Post