SHAH ALAM 27 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya dinamakan semula sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman dengan peruntukan RM2.5 juta bagi menaik taraf kampus berkenaan.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menghadiri Himpunan Mesra Alumni UiTM di Shah Alam, semalam, 26 September 2026, yang turut menjadi ruang untuk beliau menyingkap perjalanan institusi berkenaan sejak era RIDA, Maktab MARA dan Institut Teknologi MARA (ITM) sebelum berkembang menjadi UiTM.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata perjalanan UiTM mencerminkan usaha memperluas peluang pendidikan sehingga membolehkan anak-anak daripada keluarga petani, nelayan, pesawah dan golongan berpendapatan rendah melangkah ke bidang profesional.
Beliau turut mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang disifatkannya sebagai tokoh penting dalam memperjuangkan mutu serta peluang pendidikan, selain meninggalkan teladan dalam aspek pengurusan yang cekap, bersih dan berintegriti.
Anwar berkata penamaan semula kampus tersebut diharapkan dapat menghidupkan semula semangat perjuangan yang dibawa tokoh berkenaan, selaras dengan ungkapan Roger Garaudy, “Not to bury the ashes of the dead but to rekindle its flame”. Peruntukan RM2.5 juta itu diluluskan sebagai langkah awal untuk menaik taraf kampus tersebut.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan komitmen kerajaan terhadap agenda pembangunan Bumiputera, termasuk melalui pengukuhan institusi pendidikan. Beliau berkata peruntukan mengurus dan pembangunan UiTM meningkat daripada kurang RM2 bilion sebelum ini kepada RM3.08 bilion pada tahun 2026.
-Advertisement-
Beliau turut menyeru alumni UiTM memainkan peranan dalam menilai program utama agensi Bumiputera, khususnya UiTM, dengan mencadangkan pemilihan sekitar tujuh hingga 10 alumni daripada pelbagai bidang untuk mengemukakan pandangan, teguran dan cadangan bagi membantu memperkukuh institusi berkenaan.
Dalam sesi soal jawab, isu peluang pekerjaan, gaji dan kebajikan mahasiswa turut dibangkitkan, termasuk keadaan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang berdepan kesukaran mendapatkan makanan mencukupi.
Anwar turut menyatakan kesediaan untuk meneliti bersama alumni dan pengurusan UiTM berhubung isu pengurusan UiTM Holdings yang dibangkitkan dalam pertemuan tersebut, termasuk mengambil tindakan sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang salah laku.
Beliau berharap warga UiTM dan alumni dapat bersama-sama mempertahankan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera, memelihara hak serta keharmonian seluruh rakyat, selain memastikan institusi berkenaan terus ditadbir dengan baik, bersih dan berintegriti – The Capital Post