UniMAP Perkukuh Ekosistem TVET Bersama Industri

Estimate Reading Time: 2 minutes

ARAU 16 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Universiti perlu memperluas peranan daripada sekadar melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri kepada membangunkan ekosistem pendidikan dan inovasi yang bersepadu bersama sektor berkenaan bagi menyediakan tenaga mahir untuk ekonomi masa hadapan.

Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Muzammil Jusoh, berkata kekuatan sebenar universiti teknikal bukan hanya diukur berdasarkan jumlah graduan yang dilahirkan, tetapi turut bergantung pada keupayaannya menjadi rakan strategik industri dalam pembangunan bakat, penyelesaian teknologi dan peningkatan daya saing negara.

Menurutnya, universiti dan industri tidak lagi boleh bergerak secara berasingan, sebaliknya perlu berkembang sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi.

“Matlamat kita bukan sekadar memenuhi keperluan tenaga kerja industri hari ini, tetapi melahirkan bakat yang mampu menguasai, membangunkan dan memacu teknologi industri masa hadapan,” katanya dalam kenyataan bersempena Istiadat Konvokesyen UniMAP Ke-21.

Seramai 3,776 graduan UniMAP bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing menerusi tujuh sidang konvokesyen yang berlangsung selama empat hari di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, bermula Sabtu lepas.

Muzammil berkata pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu disesuaikan dengan perkembangan pesat sektor semikonduktor, automasi dan kecerdasan buatan (AI), tanpa terlalu bergantung kepada kaedah pembelajaran konvensional.

Sebaliknya, universiti perlu beralih kepada pendekatan Advanced TVET yang menggabungkan pengetahuan akademik, kemahiran teknikal, teknologi terkini serta pengalaman industri secara langsung.

Beliau berkata perubahan teknologi yang pantas ketika ini sering mendahului perkembangan kurikulum dan tahap kompetensi tenaga kerja, sekali gus menuntut institusi pendidikan tinggi menyemak semula pendekatan pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan itu, penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum, pemetaan kompetensi dan pelaksanaan pembelajaran berasaskan tempat kerja (Work-Based Learning atau WBL) perlu diperkukuh secara berterusan.

Pada masa sama, kompetensi tenaga pengajar dan kemudahan pembelajaran juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan pelajar memperoleh latihan yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Muzammil turut menekankan kepentingan memperluas pendedahan antarabangsa bagi membangunkan bakat TVET yang mampu bersaing di peringkat global.

-Advertisement-

Katanya, UniMAP komited meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti latihan industri di luar negara, khususnya bersama syarikat multinasional (MNC).

Melalui kerjasama strategik dengan TalentCorp, universiti itu secara konsisten menghantar pelajar menjalani latihan industri di Türkiye, Taiwan, Jepun, China, Thailand dan Vietnam.

Pengalaman tersebut penting bagi membolehkan graduan menguasai teknologi termaju, memahami piawaian antarabangsa serta menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja global.

Dalam aspek pembangunan inovasi, beliau berkata universiti juga perlu memperkukuh penyelidikan gunaan dan pemindahan teknologi bersama industri.

Usaha itu bertujuan melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja cekap mengendalikan teknologi, malah berupaya menguasai teknologi baharu, menghasilkan penyelesaian inovatif, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan nilai tambah kepada industri.

Menurutnya, kejayaan universiti tidak seharusnya dinilai berdasarkan kebolehpasaran graduan semata-mata, tetapi turut mengambil kira sumbangan mereka dalam memacu inovasi, menerajui industri bernilai tinggi dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata program akademik UniMAP dirangka secara strategik bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan kompeten, khususnya untuk memenuhi keperluan sektor industri berteknologi tinggi serta pembangunan ekonomi negara.

Selaras dengan aspirasi itu, UniMAP turut memperkukuh pendedahan awal pelajar kepada ekosistem industri bagi memperluas peluang mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji premium, sejajar hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Muzammil berkata kekuatan universiti itu turut disokong jaringan kerjasama strategik bersama agensi pembangunan wilayah seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), syarikat berasaskan teknologi dan syarikat multinasional.

Sebagai contoh, kerjasama antara UniMAP, NCER, Kementerian Ekonomi dan pemain industri telah membolehkan pembangunan kursus elektif berteraskan teknologi tinggi dalam kurikulum sedia ada, selain menyediakan modul pembelajaran berorientasikan industri serta kemudahan dan peralatan terkini. – The Capital Post