PUTRAJAYA – Kerajaan mempergiatkan usaha mewujudkan Hospital Medan Tawau, Sabah bagi menempatkan pesakit bukan koronavirus (Covid-19) dari Hospital Tawau.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit daripada perkhidmatan Obstetrics & Gynaecology, Paediatrics, Orthopaedic dan pembedahan am akan ditempatkan di hospital yang dibangunkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes yang memerlukan penjagaan rapi iaitu kategori tiga hingga lima termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan khususnya Semporna,” katanya menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.
Menurutnya, kes-kes yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan iaitu kategori satu dan dua akan terus ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
“Kementerian menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ATM membantu menjayakan hospital medan ini,” katanya.
-Advertisement-
Hospital Medan Tawau dibuka di Dewan Kompleks Sukan Tawau yang terletak 10 minit dari Hospital Tawau.
Hospital Tawau merupakan antara sembilan hospital khusus merawat Covid-19 di Sabah.
Kadar penggunaan katil adalah sebanyak 71 peratus daripada kapasiti katil iaitu 1,018 buah.
Setakat ini, Sabah mencatatkan kes aktif tertinggi dengan 723 kes. -SINAR HARIAN