MADRID: Seramai 94 penumpang dan anak kapal persiaran MV Hondius, yang terjejas akibat wabak hantavirus selamat dipindahkan, menurut Menteri Kesihatan Sepanyol, Monica Garcia.
Garcia berkata, mereka dari 19 negara meninggalkan Kepulauan Canary menggunakan lapan pesawat khas semalam, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Hari ini, sebuah pesawat dari Belanda dan sebuah lagi dari Australia dijadual dikerahkan untuk membawa keluar masing-masing enam dan 18 lagi individu yang terjejas.
Operasi pemindahan itu dilakukan kira-kira seminggu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan bahawa tiga penumpang Hondius, pasangan warga emas warga Belanda dan seorang wanita warga Jerman, meninggal dunia akibat wabak hantavirus.
Sebelum operasi pemindahan itu dilakukan, doktor menjalankan pemeriksaan epidemiologi di atas kapal berkenaan. Tiada gejala dikesan dalam kalangan 152 individu yang berada di atas kapal itu.
Seorang warga Perancis mula menunjukkan gejala selepas dipindahkan, kata Garcia sambil menambah bahawa pihak berkuasa Perancis akan “melaksanakan protokol mereka.”
Beliau berkata, seramai 34 individu, kebanyakannya anak kapal, akan terus berada di atas kapal dan belayar pulang ke Belanda dengan Hondius.
-Advertisement-
Beliau turut berpuas hati dan memaklumkan operasi berkenaan berjalan lancar.
Menurut WHO, terdapat enam kes hantavirus yang disahkan dan dua kes disyaki, dengan tiga daripadanya membawa maut.
Selepas semua penumpang turun dari kapal, Hondius akan meneruskan pelayaran ke Rotterdam bersama sebahagian anak kapalnya.
Mayat mangsa warga Jerman hanya akan dibawa keluar sebaik kapal itu tiba di sana dan kapal berkenaan turut akan menjalani proses nyahjangkit.
Kapal pelayaran Hondius memulakan pelayarannya di Argentina pada 1 April lalu, berlabuh di Cape Verde sebelum berlepas ke Kepulauan Canary pada petang Rabu lalu.
Memandangkan lebih 30 penumpang dan anak kapal turun semasa persinggahan kapal itu di beberapa lokasi, pihak berkuasa di seluruh dunia kini sedang mengesan kemungkinan kes disyaki. – BERNAMA – DPA – Berita Harian