Warga emas maut nahas empat kenderaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLUANG: Seorang warga emas maut manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer (KM) 80, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata Soh Moi Choi, 67, yang memandu Proton Iswara, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari Ayer Hitam menghala ke Simpang Renggam manakala tiga kenderaan lain iaitu lori jenis Hino, kereta jenis Mazda dan Proton Persona dari arah bertentangan.

“Proton Iswara dipandu mangsa dikatakan memasuki lorong bersebelahan secara tiba-tiba dan melanggar tayar belakang lori, menyebabkan kenderaan mangsa berpusing.

-Advertisement-

“Kereta mangsa kemudian bertembung dengan Mazda manakala Proton Persona melanggar serpihan kenderaan di jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu Mazda patah tangan kiri manakala penumpang hadapan dan belakang mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Bahrin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Berita Harian