WARISAN tolak jika ditawarkan jawatan TPM

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU, 25 Okt 2022 ( The Capital Post): Parti Warisan (WARISAN) tidak mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) jika pemimpinnya ditawarkan jawatan berkenaan, kata Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman.

-Advertisement-

Malah, dedah beliau, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pernah menolak jawatan itu sebanyak dua kali ketika ditawarkan oleh pimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Mohd Azis mendakwa, bekas Ketua Menteri Sabah itu ditawarkan jawatan TPM oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, sekali lagi selepas teraju kerajaan Pusat diambil alih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“WARISAN menolak jawatan berkenaan kerana rakyat Sabah lebih memerlukan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), rakyat Sabah bukannya mahukan jawatan TPM.

“Presiden WARISAN sendiri pernah ditawarkan jawatan TPM ketika pemerintahan kerajaan PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin dan ketika kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri. Kita tolak tawaran itu.

“Apa yang dimahukan rakyat Sabah dan Sarawak ialah pelaksanaan sepenuhnya dengan segera dan tanpa bertangguh lagi MA63 yang dipersetujui sekian lama di antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu ketika pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas cadangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), yang masing-masing mahu melantik tiga dan dua TPM sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

BN mengesyorkan jawatan TPM masing-masing diisi wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, manakala cadangan PH pula melantik seorang pemimpin dari Sabah atau Sarawak (Borneo) mengisi jawatan berkenaan.

-Advertisement-

Mohd Azis yang juga penyandang kerusi Parlimen Sepanggar, berkata Sabah tidak mahu lagi mendengar siri rundingan MA63 menerusi jawatankuasa yang tiada titik penyelesaian.

“Kita juga tidak mahu mendengar pelbagai alasan seperti menunggu sehingga kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan kukuh sebelum MA63 dapat dilaksanakan.

“Kita mahukan hak sama rata, formula yang adil dan kesaksamaan untuk Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan negara. Kita tidak mahu lagi diabaikan dan dianaktirikan sehingga jauh ketinggalan dari sudut pembangunan dan infrastruktur,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada dengan mewujudkan jawatan TPM bagi Sabah dan Sarawak, ia bermakna pemimpin dari kedua-dua negeri tidak boleh atau tidak akan memegang jawatan Perdana Menteri pada masa hadapan.

Katanya, rakyat tidak mahu ‘gula-gula PRU’ dan pelbagai janji manis ditabur, tetapi tidak banyak atau tiada apa yang dicapai dalam perkara berkaitan hak, kepentingan dan kedaulatan Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63.

-BH

(The Capital Post)