PUTRAJAYA 24 Jun 2026 (The Capital Post) – Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) menerima suntikan peruntukan sebanyak RM2.8 juta bagi tahun 2026 dalam usaha memperkukuh pelaksanaan program dan operasi yang memfokuskan kepada pembangunan kesukarelawanan belia di seluruh negara.
Pengumuman tersebut dibuat oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) YSS Kali Ke-14 yang berlangsung di Putrajaya.
Dalam amanatnya, YB Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa kesukarelawanan bukan sekadar aktiviti kebajikan, malah merupakan satu instrumen penting dalam pembinaan negara yang mampu memperkukuh perpaduan masyarakat, menyemai semangat patriotisme, memupuk nilai empati serta melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang dekat dengan rakyat.
Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan itu akan membantu memperkasakan lagi peranan YSS sebagai platform utama dalam menggerakkan aktiviti kesukarelawanan belia yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
-Advertisement-
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap barisan kepimpinan baharu YSS untuk meneruskan kecemerlangan organisasi tersebut dalam memperluaskan penglibatan golongan muda dalam aktiviti sukarelawan yang berimpak tinggi dan berteraskan nilai perpaduan.
YB Menteri Perpaduan Negara turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh gerakan kesukarelawanan perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan semangat kebersamaan, tanggungjawab sosial dan perpaduan nasional terus subur dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah ahli YSS, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), serta barisan Pengurusan Tertinggi Kementerian Perpaduan Negara, jabatan dan agensi berkaitan. – The Capital Post