180 penduduk hilang tempat berteduh, rumah panjang musnah terbakar

Estimate Reading Time: < 1 minute

MIRI: Seramai 180 penduduk dari 24 keluarga di Rumah Panjang Jeff Anchum di Bukit Limau Tinjar, di sini, hilang tempat berteduh selepas rumah panjang mereka musnah terbakar, malam tadi.

-Advertisement-

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran kira-kira jam 7.30 malam itu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, berkata sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi yang terletak 117 kilometer dari Miri sejurus menerima panggilan pada jam 8.16 malam.

Katanya, pasukan bomba dari BBP Lopeng sedang dalam perjalanan yang mengambil masa hampir tiga jam untuk sampai ke rumah panjang berkenaan.

“Ketika ini, kami belum pasti sama ada kenderaan dan jentera bomba dapat sampai ke lokasi kejadian disebabkan faktor jalan balak yang menuju ke rumah panjang yang agak licin dan berbahaya selepas hujan lebat yang melanda kawasan terbabit,” katanya.

-Advertisement-

Katanya, maklumat awal yang diterima mengesahkan rumah panjang jenis tidak kekal itu musnah terbakar sepenuhnya kerana kawasan terbabit terletak jauh di pedalaman dan tiada balai bomba berdekatan.

Tambahan pula, katanya, kawasan terbabit tidak menpunyai rangkaian telekomunikasi yang baik menyebabkan agak sukar penduduk setempat menghubungi talian kecemasan.

“Setakat ini, kesemua penghuni dilaporkan sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran serta kerugian yang dialami penduduk terjejas.

Kesemua penduduk terjejas dikatakan berteduh sementara di kawasan jalan berhampiran sementara menunggu bantuan susulan tiba. -BERITA HARIAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373