KUALA LUMPUR 5 Oktober 2026 (The Capital Post) – Seramai 280 mahasiswa Orang Asli daripada 24 institusi pengajian tinggi (IPT) diraikan menerusi Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) JAKOA Tahun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, potensi dan kecemerlangan golongan berkenaan.
Program anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu turut menyaksikan dua mahasiswa dinobatkan sebagai penerima AMI JAKOA Tahun 2026.
Penerima berkenaan ialah Encik Norazlizam Haziman a/l Salim dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Cik Nurul Izzati binti Norli dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail.
Pengiktirafan tersebut dilihat sebagai dorongan kepada mahasiswa Orang Asli untuk terus mengembangkan potensi serta bakat yang dimiliki, selain membina keupayaan sebagai generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti.
-Advertisement-
Majlis Penutup AMI JAKOA Tahun 2026 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, YBhg. Dato’ Dr. Roslan bin Mahmood, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JAKOA, YBrs. Tuan Muhammad Akmal Ila bin Ahmad, selain pegawai kanan KKDW, JAKOA serta wakil agensi berkaitan – The Capital Post