PUTRAJAYA 5 Oktober 2026 (The Capital Post) – Sebanyak 149 penyertaan diterima menerusi Sustainable Wood DIY Contest 2026 anjuran Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), sekali gus menunjukkan peningkatan minat terhadap kreativiti dan inovasi berasaskan kayu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan tersebut yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, semalam.
Jumlah penyertaan tahun ini meningkat lebih tiga kali ganda berbanding 48 penyertaan yang diterima ketika penganjuran sulung pertandingan pada 2024.
Sebanyak 20 produk terbaik daripada Kategori Awam dan Kategori Pelajar diketengahkan dalam pertandingan berkenaan, memperlihatkan minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap reka bentuk serta inovasi yang menggunakan bahan berasaskan kayu.
-Advertisement-
Mengangkat tema “From Waste to Wonders”, pertandingan itu memberi ruang kepada peserta mengolah sisa, kayu kitar semula dan lebihan potongan kayu kepada pelbagai produk berfungsi serta mempunyai nilai tambah.
Antara hasil kreativiti yang diketengahkan termasuk lampu meja eko-kraf, gitar kayu dan papan catur lipat, sekali gus memperlihatkan potensi bahan buangan untuk diberikan nilai serta fungsi baharu.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyokong usaha memperkasa bakat baharu selain menggalakkan penggunaan sumber kayu secara optimum dan bertanggungjawab, selaras dengan usaha meningkatkan kelestarian serta daya saing industri perkayuan negara menerusi kreativiti, kemahiran dan penghasilan produk bernilai tambah – The Capital Post