PDN Perkukuh Program Fraksinasi Plasma

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 22 Mei 2026 (The Capital Post)Pusat Darah Negara (PDN) menerima lawatan Audit Pembekal daripada GC Biopharma pada 13 Mei lalu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh Program Fraksinasi Kebangsaan dalam penghasilan produk perubatan berasaskan plasma atau plasma-derived medicinal products (PDMP).

Audit tersebut dilaksanakan mengikut keperluan Ministry of Food and Drug Safety (MFDS) Korea serta prosedur operasi standard GC Biopharma bagi memastikan plasma dari Malaysia memenuhi piawaian pemprosesan antarabangsa sebelum dihantar ke Korea Selatan untuk penghasilan produk berkaitan.

Sebagai sebahagian daripada penilaian pematuhan dan kesiapsiagaan fasiliti, audit turut dijalankan di Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka pada 14 Mei 2026.

Pelaksanaan audit itu mencerminkan komitmen berterusan PDN dalam memastikan pematuhan terhadap Amalan Perkilangan Baik (GMP) selain memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan perubatan transfusi yang berkualiti, selamat dan memenuhi piawaian antarabangsa.

-Advertisement-

Kerjasama strategik antara Malaysia dan GC Biopharma juga dilihat mampu membantu memperkukuh keselamatan bekalan produk berasaskan plasma untuk kegunaan pesakit di negara ini pada masa hadapan.

PDN turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja serta pasukan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka atas komitmen dan dedikasi berterusan dalam menjayakan audit berkenaan. – The Capital Post