SELANGOR 18 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 73 warga Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) menerima pengiktirafan menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat JPN Selangor Tahun 2025 yang berlangsung pada 17 Ogos 2026 di Ballroom, Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Penyampaian anugerah kepada para penerima disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPN Selangor, YBhg. Datin Wan Nor Ashikin binti Abu Kassim, sebagai penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang tahun penilaian.
Majlis turut dihadiri barisan Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Sektor serta Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di bawah pentadbiran JPN Selangor bagi bersama-sama meraikan pencapaian warga pendidikan yang telah memberikan sumbangan kepada pembangunan dan kecemerlangan sektor pendidikan negeri.
-Advertisement-
Suasana majlis turut diserikan dengan persembahan tarian oleh Calystra Tari dari SMK Taman Sri Muda, sekali gus menambah kemeriahan acara penghargaan tersebut.
Pengiktirafan APC diharap dapat menjadi dorongan kepada semua penerima untuk terus mengekalkan prestasi terbaik, memperkukuh integriti serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan demi memastikan kecemerlangan pendidikan di Selangor terus diperkasa. – The Capital Post