BEIJING: China hari ini melaksanakan hukuman mati ke atas 11 individu yang dikaitkan dengan sindiket jenayah rentas sempadan berpangkalan di Myanmar.
-Advertisement-
Media kerajaan melaporkan bahawa antara yang dihukum ialah dalang utama yang terlibat dalam operasi pusat penipuan telekomunikasi. Menurut Xinhua, kesemua mereka dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Wenzhou, timur China, pada September lalu dan hukuman itu telah dilaksanakan oleh mahkamah sama.
Antara pesalah termasuk anggota yang dikaitkan dengan ‘kumpulan jenayah keluarga Ming’, yang didakwa bertanggungjawab terhadap kematian 14 warga China serta mencederakan ramai mangsa lain.
Pusat penipuan berkenaan lazimnya dikendalikan oleh warga asing, termasuk ramai warga China, dengan sebahagian besar mendakwa mereka diperdagangkan dan dipaksa menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.
Xinhua turut melaporkan bahawa ahli keluarga terdekat dibenarkan bertemu dengan pesalah sebelum hukuman mati dilaksanakan.
Pelaksanaan hukuman itu mendapat kelulusan Mahkamah Rakyat Tertinggi di Beijing, yang memutuskan bahawa bukti kesalahan sejak 2015 adalah muktamad dan mencukupi.
-Advertisement-
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing meningkatkan kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara bagi membanteras pusat penipuan terbabit, dengan ribuan individu telah dihantar pulang ke China.
Tahun lalu, Kementerian Keselamatan Awam China memaklumkan lebih 7,600 warga China yang disyaki terlibat dalam perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi telah dihantar pulang dari Myawaddy, sebuah bandar di tenggara Myanmar berhampiran sempadan Thailand.
Awal bulan ini, Kemboja turut mengekstradisi hartawan Chen Zhi ke China. Amerika Syarikat mendakwa beliau mengetuai sebuah konglomerat yang dijadikan penyamaran kepada rangkaian penipuan siber bernilai berbilion dolar.
Pihak berkuasa China menyifatkan pelaksanaan hukuman mati itu sebagai amaran tegas terhadap jenayah rentas sempadan dan menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara jiran bagi membanteras rangkaian jenayah terancang.
Setakat ini, identiti penuh kesemua individu yang dihukum mati tidak didedahkan, namun pihak berkuasa menegaskan usaha penguatkuasaan akan diteruskan bagi mematahkan operasi penipuan yang masih aktif di rantau ini.
-Agensi
-Berita harian