NEW YORK: Gaza terus menghadapi masalah kekurangan air yang serius walaupun saluran bekalan air utama dari Israel ke Semenanjung Gaza telah dibuka semula baru-baru ini, menurut pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin, lapor Xinhua.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata rakan kongsi mereka dalam sektor air, kebersihan dan sanitasi melaporkan bahawa kekurangan air minuman dan air domestik masih berlaku walaupun selepas pembukaan semula saluran bekalan Mekorot dari Israel.
Hanya 6,000 meter padu air berjaya dihantar kepada penduduk bandar itu setiap hari, dengan kehilangan air yang ketara berlaku di kawasan sukar diakses.
-Advertisement-
“Bagi mengekang kekurangan ini, kami bersama rakan kongsi telah meningkatkan pengeluaran air serta penghantaran menggunakan lori dari telaga air bawah tanah dan loji penyahgaraman sektor swasta,” kata OCHA.
Sejak akhir bulan lalu, rakan kongsi OCHA telah mengagihkan lebih 100,000 botol air, lebih 700,000 ketul sabun, lebih 25,000 kit kebersihan, lebih 400 tandas mudah alih, serta 250 kit anti-kutu di seluruh Gaza.
-Berita Harian