Operasi Pembenihan Awan di Tiga Negeri Bermula Esok – Zahid

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA NERUS: Beberapa operasi pembenihan awan akan dilakukan di tiga negeri membabitkan Johor, Kedah dan Perak, mulai esok hingga Ahad ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata operasi pembenihan awan itu dilaksanakan susulan paras air beberapa empangan di negeri terbabit semakin menyusut akibat cuaca panas berterusan.

“Ketika ini, kita sedang mengalami musim Monsun Barat Daya. Meskipun (paras air di empangan) hanya pada peringkat amaran, kita tidak mahu tunggu hingga sampai tahap kritikal baru hendak berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Penggulungan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Menjelaskan lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, lokasi terbabit dengan operasi pembenihan awan itu ialah Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 serta Empangan Machap di Johor, dengan masing-masing akan dilakukan pada esok, Khamis dan Ahad.

Pada Jumaat dan Sabtu pula, beliau berkata, lokasi berkenaan ialah Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah, serta Empangan Bukit Merah di Perak.

 

-BeritaHarian