KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya dengan 13 tikaman sebelum menamatkan riwayatnya sendiri di kediaman mereka di Jalan Daun Inai 4, Sunway SPK Damansara, Kepong, semalam.
Mayat pasangan warga tempatan itu ditemui terbaring dalam bilik dengan kesan darah sebelum polis menerima laporan pada jam 11.43 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pemeriksaan di lokasi menemui lelaki berusia 54 tahun dengan kesan tikaman di leher. Wanita berusia 52 tahun itu pula mengalami 13 tikaman – 10 di leher, satu di tangan kiri dan dua di badan.
“Motif dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan suami isteri ini,” kata beliau.
-Advertisement-
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat yang dijalankan hari ini. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.
Ahmad Sukarno menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan membantu menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur. Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482222.
-BeritaHairan