KUALA LUMPUR: MGB Bhd (MGB), syarikat pembinaan dan pemaju hartanah yang juga pengeluar konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) di bawah LBS Bina Group Bhd, telah menyiapkan pemasangan struktur bumbung atau topping out bagi projek Idaman Perdana @ Puncak Alam, menandakan struktur utama bangunan siap sepenuhnya.
Projek di atas tanah seluas 10.52 ekar ini menampilkan 1,048 unit kediaman dengan keluasan minimum 1,000 kaki persegi setiap unit. Setiap kediaman lengkap dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, dua petak letak kereta, kabinet dapur, penyaman udara, dan pemanas air — menjadikan unit ini terus sedia untuk didiami.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Dr Lim Hock San, kejayaan majlis topping out menandakan permulaan positif bagi 2026, selangkah lebih dekat untuk menyediakan lebih banyak kediaman berkualiti kepada rakyat Malaysia di Lembah Klang. “Sehingga kini, lebih 2,700 pemilik telah berjaya memiliki unit masing-masing melalui inisiatif Rumah Idaman MBI, dan angka ini dijangka meningkat apabila lebih banyak projek mencapai fasa penyiapan,” katanya.
Idaman Perdana merupakan projek kelima MGB yang mencapai tahap topping out dalam siri Rumah Idaman MBI. Pada 2025, MGB menyiapkan dua projek pemasangan bumbung di Idaman Sari dan Idaman Cahaya Fasa 2, manakala 1,448 unit di Idaman Melur telah diserahkan kepada pemilik pada Julai 2025.
Sehingga kini, MGB telah membangunkan lebih 7,210 unit rumah mampu milik di bawah inisiatif Rumah Idaman MBI, menggunakan teknologi pratuang IBS yang memastikan kualiti pembinaan konsisten, efisien, dan mengurangkan pembaziran sumber.
-Advertisement-
Ditubuhkan pada 2007, MGB menyediakan pelbagai penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah termasuk reka bentuk dan bina, pengurusan projek, kejuruteraan awam dan geoteknik, serta pengeluaran konkrit pratuang IBS. Syarikat ini juga memiliki Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) seluas 1,007 ekar dan membekalkan elemen pratuang bagi projek di Jeddah, Arab Saudi.
Sehingga kini, MGB telah menyiapkan lebih 35,000 unit hartanah, termasuk lebih 12,000 unit menggunakan teknologi IBS pratuang mereka.
-BeritaHarian