Ribut ganas di New Zealand ganggu penerbangan, puluhan ribu terputus bekalan elektrik

Estimate Reading Time: < 1 minute

SYDNEY: Hujan lebat dan angin kencang mengganggu penerbangan, perkhidmatan kereta api serta feri, selain memaksa penutupan jalan di beberapa bahagian Pulau Utara, New Zealand hari ini.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik.

Kebanyakan penerbangan keluar dan masuk ke Wellington dibatalkan atau ditangguhkan pada pagi tadi, menurut pihak lapangan terbang.

Air New Zealand turut menggantung operasi di lapangan terbang Wellington, Napier dan Palmerston North, lapor media tempatan.

Pihak berkuasa memaklumkan lebih 30,000 premis terputus bekalan elektrik, termasuk kira-kira 10,000 pelanggan di Wellington.

Pengguna jalan raya di seluruh wilayah Wellington digesa mengelakkan perjalanan, selain beberapa sekolah juga ditutup ketika pasukan kecemasan bertindak balas terhadap kerosakan meluas.

“Kami melalui malam yang sangat sibuk dan anggota bomba kami terus menerima panggilan kecemasan,” kata Penolong Komander Kebangsaan Fire and Emergency New Zealand, Ken Cooper.

Beliau berkata, lebih separuh daripada 852 panggilan kecemasan yang diterima sepanjang malam daripada wilayah Wellington.

-Advertisement-

Loji rawatan air kumbahan utama Wellington sebelum ini gagal berfungsi ketika ribut awal bulan ini, memaksa pelepasan sisa kumbahan mentah ke pesisir pantai selatan.

Ribut hujung minggu lalu menyebabkan pencemaran itu dihanyut dan ditiup kembali ke pantai, yang digelar sebahagian penduduk sebagai ‘poonami’ di media sosial.

Imej yang dikongsi dalam talian menunjukkan kawasan separa luar bandar ditenggelami air, rumah dinaiki air dan sebahagian jalan runtuh selepas air surut.

Sementara itu, sistem tekanan rendah yang semakin menguat di timur Pulau Utara membadai beberapa wilayah sejak hujung minggu, membawa hujan lebat dan angin kencang.

Seorang lelaki ditemui maut pada Sabtu dalam kenderaan yang tenggelam di lebuh raya. Ribut itu diramal bergerak ke Pulau Selatan esok, dengan pihak berkuasa memberi amaran gangguan lanjut.

-BeritaHarian