TFC perlu hati-hati ancaman Melaka

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Biarpun menang besar pada aksi pusingan pertama Liga Super, pemain Terengganu FC (TFC) diingatkan supaya berwaspada menghadapi Melaka FC malam esok.

Beraksi di gelanggang lawan di Stadium Hang Jebat, pengendali sementara Tengku Hazman Raja Hassan menuntut anak buahnya kekal fokus untuk melakar kemenangan.

“Melaka FC kini dibimbing ketua jurulatih berpengalaman E Elavarasan selain melakukan beberapa pertukaran pemain baharu terutama tonggak importnya.

“Perubahan itu sudah tentu memberikan impak besar berbanding sebelum ini. Kami tegaskan kepada pemain supaya tidak boleh ambil mudah dalam misi memburu mata penuh.

“Kami juga ingatkan mereka kekal fokus sepanjang permainan bagi bangkit ke kedudukan lebih baik dalam carta liga,” ujar bekas pemain kebangsaan itu.

Beliau turut mengakui akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama selepas seorang tonggak pentingnya tidak dapat diturunkan.

-Advertisement-

“Careca tidak dapat diturunkan kerana digantung satu perlawanan, jadi ketiadaannya memaksa kami membuat sedikit rombakan.

“Mengenai perlawanan pada bulan puasa, bagi saya tiada masalah kerana rata-rata pemain sudah biasa beraksi ketika Ramadan sebelum ini.

“Namun, mereka perlu lebih cepat menyesuaikan diri bermula awal puasa dari segi jadual latihan dan rehat mencukupi,” ujar Tengku Hazman yang mengambil alih tugas sejak Disember lalu.

Pada aksi di Kuala Terengganu sebelum ini, TFC menang 4-0 menerusi jaringan Careca, Nurillo Tukhtasinov dan Yann Mabella (dua gol).

-BeritaHarian