KUALA LUMPUR: Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri hanya dilaksana selepas tamat tempoh lapan tahun daripada urusan kajian terakhir atau sekiranya berlaku pindaan undang-undang membabitkan komposisi keanggotaan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkara itu selaras dengan Perkara 113(2), Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam hal ini, lat tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan Sarawak sudah berakhir pada 21 Ogos 2023.
“‘Justeru SPR kini berada dalam proses penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bagi negeri itu sebelum melaksanakan proses seterusnya sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
“Kajian itu akan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN sebagaimana diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai status terkini pelaksanaan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta jangkaan semua urusan itu dilengkapkan.
-Advertisement-
Bagi Sabah, Azalina berkata, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan berakhir pada 21 Februari 2025 dan pada masa ini SPR masih belum memutuskan untuk memulakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negeri itu berikutan Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah Ke-17 baru selesai.
“Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, lat tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac depan (2026).
“Sebarang keputusan bagi pelaksanaan urusan kajian persempadanan semula hanya akan ditentukan SPR selepas tamatnya lat tempoh itu,” katanya.
-BeritaHarian