MANCHESTER: Pemain tengah Manchester United, Casemiro menyifatkan Kobbie Mainoo sebagai “masa kini dan masa depan” kelab itu selepas pemain muda berkenaan menandatangani kontrak baharu.
Di bawah bekas pengurus Ruben Amorim, Mainoo sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan keluar apabila sukar mendapat tempat susulan persaingan bersama kapten pasukan, Bruno Fernandes.
Namun, pemain berusia 21 tahun itu kembali menyerlah di bawah kendalian Michael Carrick sebelum menandatangani kontrak baharu hingga tahun 2031 dengan kenaikan gaji lumayan.
Bercakap dalam saluran YouTube Rio Ferdinand Presents, Casemiro memuji kualiti dimiliki Mainoo. “Kobbie pemain luar biasa. Tetapi dia perlu terus berlatih dan bekerja keras. “Dia adalah masa kini dan masa depan kelab ini,” kata Casemiro.
Menurut Casemiro, Mainoo lebih sesuai beraksi sebagai pemain tengah nombor lapan berbanding posisi nombor lima. “Dia sukakan bola, perlukan bola dan jarang kehilangan penguasaan. Dia kuat serta mempunyai kualiti tinggi. “Tetapi dia perlukan konsistensi setiap perlawanan,” katanya.
-Advertisement-
Casemiro dijangka meninggalkan United hujung musim ini selepas empat tahun bersama kelab berkenaan. Beliau turut mempertahankan Carrick yang kini menjadi pengendali interim selepas menggantikan Amorim hingga penghujung musim.
Carrick berjaya membawa United kembali bersaing dan hampir pasti layak ke Liga Juara-Juara UEFA musim depan. “Bagi saya dia layak kekal. Pasukan bermain dengan baik dan semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” tambah Casemiro.
Bekas pemain Real Madrid itu turut membandingkan Carrick dengan jurulatih berpengalaman, Carlo Ancelotti. “Dia memahami kelab ini dan tahu apa yang diperlukan pemain kerana dia sendiri pernah bermain di tahap tertinggi,” tambahnya.
Casemiro juga menyebut Diogo Dalot dan Fernandes sebagai antara pengaruh penting dalam bilik persalinan United. Namun beliau turut memuji penjaga gol veteran, Tom Heaton, yang dianggap memainkan peranan besar dalam menjaga suasana pasukan. – AGENSI