KUALA LUMPUR 19 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi terus memperkukuh agenda inovasi negara menerusi penganjuran The 37th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre.
Majlis perasmian ITEX 2026 telah disempurnakan oleh Norsham Abdul Latip yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. Turut hadir Presiden MINDS, Tan Sri Emeritus Profesor Datuk Dr. Augustine S.H. Ong serta Presiden C.I.S, Dato’ Vincent Lim.
Penganjuran ITEX yang kini memasuki edisi ke-37 terus menjadi platform utama dalam memperlihatkan komitmen Malaysia untuk muncul sebagai negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030 melalui pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemerkasaan inovasi berasaskan industri serta usaha mempercepatkan pengkomersialan teknologi tempatan.
Edisi kali ini turut diperkasakan menerusi Program Pemecutan Pengkomersialan ITEX (iCAP) yang memberi peluang kepada pencipta dan penyelidik membentangkan inovasi mereka secara lebih tersusun bagi memastikan hasil teknologi mampu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta pertumbuhan ekonomi negara.
-Advertisement-
Selain itu, pelbagai inisiatif seperti NTIS dan MRANTI telah membantu menyokong lebih 101 teknologi tempatan dengan nilai melebihi RM171.8 juta untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Program MySTI pula berjaya memperakui ratusan produk tempatan yang memberi impak besar kepada perolehan kerajaan dan pembangunan ekosistem inovasi negara.
ITEX 2026 sekali lagi membuktikan potensi besar Malaysia dalam memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama inovasi dan teknologi di rantau ini selaras dengan agenda menjadikan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa depan. – The Capital Post