MBI Selangor Bangun Akuakultur ZIPS

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 23 Mei 2026 (The Capital Post)Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) memeterai kerjasama strategik bersama Farmerex Sdn Bhd menerusi pertukaran dua dokumen perjanjian bagi pembangunan projek penternakan akuakultur komersial di Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS), Sabak Bernam.

Majlis pertukaran dokumen yang berlangsung di Kuala Lumpur itu melibatkan Perjanjian Sewaan tanah seluas 50 ekar bagi tujuan penternakan akuakultur serta Perjanjian Usahasama pembangunan ladang akuakultur komersial berteknologi tinggi.

MBI Selangor diwakili oleh Ketua Zon Pembangunan Sabak Bernam, Puan Zannifa Azura Ahmad manakala Farmerex Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Tuan Teoh Han Boon. Majlis tersebut turut disaksikan oleh YB. Dato’ Haji Rizam bin Haji Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam.

Farmerex Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Camaroe Berhad yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia serta mempunyai pengalaman luas dalam industri akuakultur dan pemprosesan hasil perikanan.

Kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam pembangunan industri akuakultur moden di ZIPS dengan fokus utama kepada pembangunan penternakan udang komersial berteknologi tinggi. Projek itu juga bakal menjadi operasi pertama dimulakan di kawasan ZIPS sejak ia dirasmikan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari pada 25 April lalu.

Sebagai antara projek pemangkin utama di bawah Sabak Bernam Development Area (SABDA), pembangunan ZIPS selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan, ekonomi biru serta pembangunan luar bandar secara mampan dan inklusif.

-Advertisement-

ZIPS dirancang sebagai hab industri perikanan bersepadu yang merangkumi aktiviti penternakan akuakultur, pemprosesan hasil laut, logistik rantaian sejuk dan pembangunan industri hiliran bernilai tambah bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan laut tempatan untuk pasaran domestik dan eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, YBhg. Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop berkata kerjasama strategik itu merupakan langkah signifikan dalam merealisasikan agenda pembangunan ekonomi negeri yang mampan serta berimpak tinggi.

Beliau berkata pembangunan industri akuakultur moden di ZIPS bukan sahaja mampu memperkukuh rantaian bekalan makanan negeri, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat khususnya di Sabak Bernam.

Untuk maklumat lanjut mengenai MBI Selangor, layari MBI Selangor. – The Capital Post