Lawatan kerja perkukuh kebajikan wanita dan kanak-kanak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 25 Mei 2026 (The Capital Post) – Yang Berusaha Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), telah mengiringi delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia dalam siri lawatan kerja rasmi ke Kuala Lumpur dan Johor bagi meninjau aspek kebajikan serta sokongan masyarakat.

Lawatan yang berlangsung pada 18 Mei lalu itu dimulakan dengan tinjauan operasi One Stop Crisis Center (OSCC) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi melihat sendiri pelaksanaan perkhidmatan sokongan dan pengurusan kes melibatkan golongan rentan.

Delegasi kemudiannya meneruskan lawatan ke Johor dengan mengadakan kunjungan ke Hospital Sultanah Aminah sebelum menghadiri sesi perjumpaan dan dialog bersama wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor.

-Advertisement-

Program turun padang tersebut bertujuan meninjau fasiliti sokongan kesihatan dan kebajikan, selain mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai cabaran serta isu di peringkat akar umbi yang melibatkan wanita, kanak-kanak dan komuniti setempat.

Lawatan itu turut menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan, Parlimen dan NGO dalam usaha mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan sosial serta kebajikan masyarakat secara lebih menyeluruh dan berimpak – The Capital Post