PUTRAJAYA 26 Mei 2026 (The Capital Post) – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini telah mendengar pembentangan utama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berhubung cabaran krisis rantaian bekalan global yang terus memberi tekanan kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk terus melindungi kebajikan rakyat khususnya golongan yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi dunia serta peningkatan kos operasi dan harga barangan.
Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju meneruskan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara lebih bersasar bagi membantu pekebun kecil, pengusaha sektor komoditi dan golongan rentan yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
-Advertisement-
Selain isu ekonomi dan komoditi, mesyuarat turut memberi perhatian terhadap aspek jaminan kesihatan rakyat. KKM memaklumkan bahawa bekalan ubat di negara ini secara keseluruhannya masih berada dalam keadaan stabil, namun pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan tiada gangguan terhadap bekalan dan harga ubat di pasaran.
Kerajaan turut menegaskan bahawa langkah proaktif akan terus diambil bagi memastikan rakyat tidak terbeban akibat cabaran ekonomi global, selaras dengan pendekatan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat – The Capital Post