Anwar Bertemu Yohei Sasakawa, Bincang Keamanan Global

Estimate Reading Time: < 1 minute

TOKYO 10 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi beliau ke Jepun dengan mengadakan pertemuan bersama sahabat lamanya yang juga Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Tan Sri Yohei Sasakawa bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan keamanan global, pembangunan kepimpinan dan kerjasama serantau.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua tokoh berkenaan mengimbau hubungan kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama termasuk penglibatan dalam Forum 2000, sebuah platform dialog antarabangsa yang diasaskan oleh bekas Presiden Czech, Václav Havel. Forum tersebut menghimpunkan pemimpin dunia, cendekiawan dan pemikir antarabangsa bagi membincangkan isu berkaitan demokrasi, hak asasi manusia, keamanan serta masa depan peradaban global.

Perbincangan turut menyentuh usaha memperkasa generasi muda Asia Tenggara menerusi pelbagai program pembangunan kepimpinan yang berteraskan gagasan Asian Renaissance. Inisiatif tersebut bertujuan melahirkan pemimpin masa hadapan yang berpegang kepada nilai kemanusiaan, budaya dan prinsip kepimpinan berintegriti.

YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan berterusan Tan Sri Yohei Sasakawa dalam pelbagai misi kemanusiaan dan usaha mempromosikan keamanan di peringkat antarabangsa.

-Advertisement-

Selain itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik semasa termasuk situasi di Myanmar, konflik yang semakin meruncing melibatkan Israel dan Iran serta krisis kemanusiaan berpanjangan yang menjejaskan rakyat Palestin.

Menurut Perdana Menteri, usaha mewujudkan keamanan sejagat memerlukan komitmen berterusan daripada pemimpin dunia dan masyarakat antarabangsa melalui pendekatan dialog, persefahaman serta penghormatan terhadap prinsip keadilan sejagat.

Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, menggalakkan dialog konstruktif serta menyokong usaha keamanan dan pembangunan mampan di peringkat global. – The Capital Post