Lawatan Jepun: PM Rakam Penghargaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

TOKYO, 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Jepun melabuhkan tirai dengan satu sidang media bersama rakan-rakan media Malaysia yang mengikuti delegasi sepanjang kunjungan tersebut.

Perdana Menteri berkata lawatan berkenaan berlangsung dengan baik dan mencapai matlamat yang disasarkan, termasuk usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Jepun, meneroka peluang kerjasama baharu serta menarik pelaburan dan perdagangan berkualiti ke Malaysia bagi manfaat rakyat dan negara.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Jepun dan rakyat negara itu atas sambutan mesra serta persahabatan yang diberikan sepanjang lawatan rasmi tersebut. Menurutnya, hubungan yang telah dibina sejak puluhan tahun terus menjadi asas kepada keyakinan, kepercayaan dan kerjasama yang semakin erat antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada warga Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo atas usaha keras menjayakan lawatan tersebut, termasuk kepada Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, yang menamatkan tugas diplomatiknya sejurus selepas lawatan rasmi itu berakhir.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa persahabatan Malaysia-Jepun yang telah berakar sejak sekian lama akan terus berkembang, merentasi generasi dan membawa limpahan kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri menutup kenyataannya dengan ucapan terima kasih kepada Jepun, “Dōmo arigatō gozaimasu. Sayonara.” – The Capital Post

-Advertisement-