GEORGE TOWN 15 Jun 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaiktaraf Pam dan Kolam Takungan Banjir S18 di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang bagi meninjau perkembangan terkini pelaksanaan projek berimpak tinggi tersebut.
Projek bernilai RM6.3 juta itu dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan sistem tebatan banjir sedia ada, khususnya kolam takungan yang telah dibangunkan sejak 2007, dalam usaha mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku susulan hujan lebat dan perubahan corak cuaca semasa peralihan monsun.
Menurut PETRA, penambahbaikan yang dilaksanakan dijangka dapat memperkukuh pengurusan saliran dan meningkatkan keberkesanan sistem kawalan banjir di kawasan sekitar George Town yang berdepan cabaran pertambahan aliran air ketika cuaca ekstrem.
Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 19 Jun 2026 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 39,550 penduduk setempat melalui pengurangan risiko kerosakan harta benda serta peningkatan tahap keselamatan komuniti.
-Advertisement-
Lawatan itu turut disertai Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, Dato’ Mohd Norhisham Musa bersama pegawai kanan kementerian serta wakil jabatan dan agensi berkaitan yang terlibat dalam pelaksanaan projek.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PETRA dalam membangunkan infrastruktur air yang lebih berdaya tahan, mampan dan inklusif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan cuaca yang semakin tidak menentu. – The Capital Post