UPNM Adakan Lawatan Penanda Aras Ke ILKKM

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI BULOH 16 Jun 2026 (The Capital Post) – Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh menerima kunjungan delegasi dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam satu lawatan penanda aras yang bertujuan memperkukuh perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan serta latihan profesional.

Delegasi UPNM yang diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Fahmi Lukman, Timbalan Dekan (Akademik dan Prasiswazah), disambut oleh Pengarah ILKKM Sungai Buloh, En. Wong Kim Han @ Robert bersama barisan pengurusan institusi.

Sepanjang lawatan tersebut, delegasi diberikan taklimat mengenai program dan operasi institusi oleh Ketua Program Kejururawatan, Puan Noriza Ismail yang berkongsi mengenai pelaksanaan latihan serta pembangunan kompetensi dalam bidang kejururawatan dan penjagaan kesihatan.

Lawatan itu turut menjadi platform untuk kedua-dua institusi bertukar pandangan berkaitan pendekatan pendidikan, pengurusan latihan serta pembangunan modal insan yang dapat menyokong keperluan sektor kesihatan dan pertahanan negara.

-Advertisement-

Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan pusat latihan profesional, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.

Kedua-dua pihak turut menyatakan harapan agar hubungan yang terjalin dapat diteruskan demi memperkasakan kecemerlangan akademik serta pembangunan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing. – The Capital Post