PUTRAJAYA 16 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam usaha meningkatkan daya saing sektor hiliran sawit apabila Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menerima kunjungan hormat daripada Malaysian Oleochemical Manufacturers Group (MOMG) di kementerian itu semalam.
Pertemuan tersebut menjadi medan perbincangan mengenai cabaran semasa yang dihadapi industri oleokimia negara serta peluang untuk mempertingkatkan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar utama produk berasaskan sawit di pasaran antarabangsa.
Selain membincangkan isu-isu berkaitan industri, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai langkah strategik yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh rantaian nilai sektor sawit, meningkatkan inovasi produk serta memperluaskan pasaran bagi produk hiliran bernilai tinggi.
KPK menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan pemain industri dalam memastikan sektor agrikomoditi negara kekal berdaya saing, mampan dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
-Advertisement-
Usaha berterusan itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh industri hiliran sawit melalui penghasilan produk bernilai tambah yang dapat meningkatkan pendapatan industri serta memperluaskan peluang perniagaan di peringkat global.
Turut hadir dalam sesi pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPK, YBhg. Dato’ Razali Mohamad. – The Capital Post