KUCHING 18 Jun 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mencipta satu lagi pencapaian penting apabila menjadi tuan rumah kepada penganjuran Persidangan Kejuruteraan Geoteknikal Serantau Malaysia Pertama 2026 (MRGEC2026), yang berlangsung dari 17 hingga 19 Jun di The Imperial Hotel, Kuching.
Persidangan berprestij yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi itu dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR), JKR Malaysia, JKR Sarawak dan JKR Sabah. Acara tersebut menjadi platform penting dalam menghimpunkan pakar-pakar geoteknikal bagi membincangkan cabaran serta perkembangan terkini dalam bidang kejuruteraan geoteknik.
Bertemakan “Resilient Ground, Sustainable Future”, MRGEC2026 menarik penyertaan lebih 700 profesional industri, ahli akademik, penyelidik dan pemain sektor geoteknikal dari dalam serta luar negara. Persidangan itu turut menampilkan 33 penceramah berpengalaman dan 45 pempamer industri yang mempamerkan teknologi serta inovasi terkini dalam bidang berkenaan.
Perbincangan sepanjang persidangan memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk teknologi siasatan tapak dan inovasi geoteknikal, pengurusan kestabilan cerun serta risiko tanah runtuh, sistem asas bangunan dan infrastruktur, serta kaedah pembaikan tanah bagi meningkatkan keselamatan dan ketahanan projek pembangunan.
-Advertisement-
Penganjuran program tersebut bertujuan memperkukuh perkongsian ilmu, teknologi moden dan amalan terbaik dalam kalangan pemain industri, selain menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara sektor kerajaan, swasta dan institusi pendidikan. Inisiatif ini juga dilihat mampu menyokong pembangunan industri kejuruteraan negara agar kekal kompetitif di peringkat global.
Sebagai sebahagian daripada program persidangan, peserta turut dijadual menyertai lawatan teknikal ke Tapak Pembinaan Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat pada 19 Jun. Lawatan itu akan memberi peluang kepada peserta untuk meninjau secara langsung pelaksanaan penyelesaian geoteknikal dan kaedah pembinaan yang digunakan dalam projek infrastruktur utama yang bakal meningkatkan jaringan pengangkutan serta pembangunan sosioekonomi negeri.
Kejayaan penganjuran MRGEC2026 mencerminkan kemampuan JKR Sarawak dalam mengendalikan acara teknikal berskala besar serta memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam pembangunan kejuruteraan yang inovatif, mampan dan berimpak tinggi untuk masa depan negara. – The Capital Post